HARI KEDUA ( 26 OKT. 2011 - RABU ) : Ihsan dari Blog Lensa SMKTTJ.
           Seawal  jam 0500 pagi (0600 pagi waktu Malaysia), matahari telah mula  menunjukkan cahayanya.  Waktu subuh di HCMC ialah jam 0430 pagi dan  bermulalah bunyi-bunyian pelbagai hon kenderaan sama ada kereta mahupun  motosikal di atas jalan raya.  Di sini, jarang kita akan berjumpa dengan  kenderaan berat seperti lori dan nisbah kereta dengan motosikal ialal  1:100 (bayangkan betapa banyaknya motosikal) dan dengan hampir 10 juta  penduduk HCMC.  
               Maka  tidak hairanlah jika anda melangkah ke Saigon, di mana-mana sahaja kaki  lima jalan akan dipenuhi manusia yang menjalankan pelbagai aktiviti  perniagaan termasuk dijadikan tempat tinggal.  Mereka yang memiliki  rumah adalah golongan yang kaya raya sahaja.  Itu pun, rumah yang  diduduki sebenarnya adalah milik kerajaan. Inilah sistem kerajaan  kapitalis yang mengamalkan ideologi komunis.
          Sebahagian daripada kami  memulakan hari baru di Saigon dengan bersarapan di tingkat 7 Kim Huong  Hotel (voucer sarapan pagi) dengan hanya mengambil roti yang dibekalkan  dengan butter dan jem strawbery untuk mengelakkan termakan hasil  ternakan babi.  Ada juga antara kami yang memenuhi perut dengan merebus mee  maggie cup yang diusung dari Malaysia dan pelbagai jenis biskut.
Pagi di Ben Thanh....
 
         Tepat  jam 0700 pagi, kami mengambil Vinasun Taxi ( pastikan no. yang tertera di Taxi ialah 38. 27. 27. 27 - untuk mengelakkan dari di tipu ) ke The Sinh Tourist yang  popular dengan panggilan Sinh Cafe yang terletak kira-kira 10 minit  perjalanan dari hotel.  Menteri Kewangan kami, Puan Yusrina membeli  tiket ke Cu Chi Tunnel.  Dalam 20 minit kemudian, bas yang akan membawa  kami ke Chu Chi Tunnel sampai dan kami meneruskan perjalanan bersama  pelancong dari Korea Selatan, Ireland serta Amerika Latin.
Melihat  susun atur bangunan yang berselerak dengan talian arus elektrik yang  bagai menunggu mangsa membuatkan kami berdiri bulu roma kerana terasa  nyawa boleh melayang bila-bila masa sahaja.  Tiada bangunan pencakar  langit tetapi hampir kesemua bangunannya berbentuk kotak dibumbungi  dengan zink yang mula berkarat mengikut usia.
Cu  Chi Tunnel yang terletak dalam wilayah Cu Chi mengambil masa 2 jam  perjalanan ke selatan HCMC.  Ianya merupakan kawasan operasi kumpulan  yang menggelarkan diri mereka dengan "Viet Cong" yang bertindak  berperang dengan Amerika Syarikat dalam 'Perang Vietnam' tahun 1968.     Viet Cong adalah kumpulan gerilla bawah tanah yang membina terowong  sepanjang 75 batu (120 km) yang boleh memuatkan beribu gerilla dan  penduduk untuk berlindung dari tentera Amerika.
Masih  terdapat lekukan-lekukan kesan jatuhan bom oleh tentera Amerika B-52  yang menjatuhkan 30 tan bom dibantu oleh tentera Australia namun tidak  berjaya menghapuskan tentera gerilla yang bersembunyi sedalam 3 hingga 7  kaki ke dalam tanah.
Pengembaraan  di sekitar Cu Chi Tunnel yang masih kekal seperti dahulu dengan  sesetengah tempat masih mempunyai jerangkap samar telah memberi seribu  gambaran buat generasi sekarang yang tidak terlibat dengan perang dan  betapa senang hidup tanpa perang.  Pengalaman menjadi gerilla Viet Cong  oleh beberapa orang antara kami membuatkan hidup lebih dihargai kerana  kita tidak pernah merasai kesempitan untuk meneuskan kehidupan.
Setelah  sampai ke penghujung perjalanan, kami berehat seketika sambil menikmati  ubi kayu rebus bersama air.  Berlaku sedikit kesilapan komunikasi  antara kumpulan kami dan Kerry.  Salah seorang dari kami bertanya Kerry  air apa yang dihidangkan itu.  Dengan penuh yakin Kerry menjawab  pineapple (mengikut pendengaran kami)...lalu kami meminum air yang  dihidangkan tetapi tidak pulak terasa macam rasa nenas tetapi rasa dan  berbau pandan.  Dengan muka tidak puas kami bertanya semula Kerry air  apa yang dihidangkan itu.  Lantas Kerry menyebut "pinpal" (atau lebih  kurang begitu bunyinya) sambil menunjukkan tangannya ke pokok pandan  yang tergantung.  Dengan serentak kami ketawa dan menjawab...oooooooooo  air daun pandan....Maka, jadilah kami perhatian ramai pelancong  negara-negara lain di bumi Vietnam.
|  | 
| Add caption | 
 
Tepat  jam 0100 petang, kumpulan kami berangkat pulang ke HCMC bersama pemandu  pelancong Encik Kerry (dieja...K.E.A.A.Y)* Orang Vietnam tidak boleh  menyebut 'R' dan 'S' seperti "SISTER"...akan disebut sitte'....
Dalam  perjalanan pulang ke HCMC, dengan rasa bosan yang teramat salah seorang  dari kami cuba mengajak pemandu bas berborak.  Memang terbukti masalah  utama antara kami ialah komunikasi.  Kami bertanya dalam bahasa inggeris  dan dijawab dalam bahasa Vietnam.  Lain yang kami tanya, lain yang  dijawab.  Kadang-kadang terasa kesian kerana untuk menjawab soalan kami  segala aksi dilakukan termasuklah menggaru kepala dan mengangkat  kedua-dua tangan semasa memandu tetapi tetap tiada suara.  Paling tidak  pun, mereka akan tersengih walaupun soalan kami tidak kelakar  sebenarnya.  Setelah penat melayan kami bercakap (sebenarnya  masing-masing bercakap sendiri)...kami dipelawa memandu bas pelancong.   Oh!!!tidak sama sekali kerana pemandunya berada di sebelah kiri.
Setibanya  kami di Sinh Cafe, makanan tempahan kami dibawa oleh puan Hazel dan  kami makan tengah hari tepat jam 0300 petang menumpang sebuah restoran  sebelah Sinh Cafe.  Kami hanya minum air tembikai bagi menghormati  pemilik restoran yang sudi memberi ruang untuk kami makan. 
Pengembaraan diteruskan dengan City Tour oleh pemandu pelancong yang baru. Kami dibawa ke Dinh Doc Lap - Independence Palace yang terletak di Ly  Tu Trong tidak jauh dari pasar Bin Thanh.  Bangunan yang dibina era  pemerintahan Perancis berasaskan idea Mr Ngo Viet Thu dan menjadi istana  buat pemerintahnya iaitu Ngô Đình Diệm mulai 27 Februari 1962.  Istana ini juga dikenali sebagai istana Norodom dan kini dipanggil Independence Palace(Hội trường Thống Nhất).  Istana ini juga pernah menjadi tempat pentadbiran tentera jepun tahun 1945.
Tidak  rugi melihat seni bina masyarakat Vietnam yang membina beberapa pintu  rahsia untuk membolehkan pemerintahnya melarikan diri.  Malahan,  terdapat satu jalan yang menghubungkan kawasan istana ke lapangan  terbang Ho Chi Minh (Tan Son Nhat International Airport) yang terletak kira-kira 7 km yang membolehkan presidennya melarikan diri apabila diserang.
          Kemudian,  perjalanan diteruskan ke Central Post Office yang mempunyai ukiran  gothic dari Perancis.Ianya adalah hasil senibina oleh Gustave  Eiffel yang menjadi lokasi tumpuan pelancong yang rata-rata akan masuk  ke bangunan pejabat pos dan membeli poskad untuk dihantar kepada mereka  yang disayangi.  Kumpulan kami juga telah membeli pelbagai pemandangan  yang ada pada poskad dan menghantarnya kepada mereka yang ditinggalkan  di Malaysia bersetemkan sebanyak 10,800 Dong.  Poskad dijangka sampai  dalam masa 1 hingga 2 minggu.
                      Dari  Central Post Office, kumpulan kami tidak meneruskan perjalanan ke  lokasi seterusnya kerana jam 0500 akan tiba waktu Maghrib.  Oleh kerana  tidak mempunyai peta mahupun GPS, kami menaiki teksi Vinasun ke tempat  penginapan yang sebenarnya hanya memakan masa selama 7 minit sahaja jika  berjalan kaki.  Apa nak buat....kita duduk di negara orang.  Lagi pun,  kalau sesat agak sukar untuk berkomunikasi dengan masyarakat tempatan  yang tidak tahu berbahasa Inggeris.
Selepas  solat Maghrib, kami mula meneroka pasar Ben Thanh yang akan ditutup  pada jam 0700 petang.  Pasar ini merupakan syurga kepada pembeli kain,  baju serta barangan kraftangan.  Beberapa orang dari kami juga sempat  membeli jam tangan jenama Omega.  Malah kami juga berkampung di lot  kedai yang menjual kain kapas untuk baju kurung.  Masing-masing membeli  paling kurang 4 pasang kain untuk diisi ke dalam bagasi.  Sepasang  bernilai 10 USD (RM30.00).  Apa yang perlu diingat oleh para pelancong  ketika berada dalam pasar Ben Thanh ialah jangan sesekali menyentuh apa  sahaja barangan yang dijual (pada penjual apabila kita memegangnya kita  mesti membelinya).  Kalau kita mengatakan tidak atau "No", mereka akan  memaki hamun dan memarahi para pelancong.
Setelah pasar Ben Thanh bergelap, kami meneruskan penjelajahan untuk kali kedua di pasar malam sekitar Ben Thanh (Pho Mua Sam Night Market).   Harga yang ditawarkan oleh peniaga akan naik berkali ganda serta  adegan tawar menawar diteruskan dan tidak kurang juga ada sesetengah  pelancong dimarahi oleh peniaga termasuklah kami.  Katanya 'kalau tidak  mempunyai 100,000 Dong, jangan cuba tawar menawar'.  Kadang-kadang  terjadi juga penjual mengejar kami yang tidak berminat dengan barangan  mereka dengan menawarkan harga murah.  Jangan juga terkejut bila kita  dipegang dengan kuat oleh peniaga yang seakan-akan memaksa kita membeli  hasil jualan mereka.  Ini kerana, penduduk Vietnam bergantung sepenuhnya  kepada para pelancong untuk mata pencarian mereka disebabkan sebahagian  besar penduduk adalah golongan miskin dan tidak mempunyai rumah.   Malah, mereka akan lebih gembira bila kita membeli dengan duit malaysia  Ringgit atau USD kerana bila ditukar kepada Dong....mereka akan jadi  kaya raya.
Setiap  penjuru dan sudut jalan atau di mana sahaja ruang kosong kita dapat  melihat berlakunya urusniaga seakan-akan mencetak budaya dan tradisi  yang ada di negara Perancis.  kanak-kanak juga dieksploitasi sepenuhnya  di Saigon.  Seawal usia setahun, mereka digunakan untuk menarik  perhatian pelancong untuk membeli barangan yang dijual.  Malahan,  kanak-kanak ini akan terus menjual barangan bermula jam 0800 pagi hingga  ke tengah malam. 
Perjalanan  kami agak perlahan kerana masing-masing mula mengumpul tenaga untuk  mengusung barangan yang semakin sarat.  Kami juga sempat membeli  buah-buahan segar untuk dimakan sebelum beradu.  Jangan lupa, apabila  anda melintas jalan di Bandar Saigon....lintaslah dengan yakin tanpa  menoleh ke kiri atau ke kanan kerana prinsip pemandunya ialah pemandu di  belakang mesti mengawasi objek di hadapan (mereka akan mengelak pejalan  kaki yang melintas di hadapan mereka).  Bagaimana dengan pemandu  kita??????
Berada  di Saigon City, mata hanya akan minta untuk berehat setelah jam  menunjukkan ke angka 1 (jam 0200 pagi di Malaysia).  Kami juga mula  terfikir kenapa negara yang begitu lama diduduki oleh penjajah seperti  Amerika, Perancis dan Jepun tidak sedikit pun pandai dan fasih  menuturkan bahasa penjajahnya????.......bersambung.